Pembangunan asnaf, mualaf jadi tumpuan YDKMM Sabah

Sabah


KOTA KINABALU, 5 Dis  — Pembangunan asnaf dan mualaf menjadi tumpuan Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM) Sabah dalam membantu golongan itu mengenai aspek pendidikan agama.

Tumpuan itu diberikan selepas yayasan yang ditubuhkan sejak lima tahun lepas menyedari ramai golongan asnaf dan mualaf di negeri ini memerlukan bimbingan dari segi pendidikan agama dan pada masa membantu meringankan beban mereka.

JustForex

Pengerusi YDKMM Sabah Sittilin Salleh berkata menerusi pendidikan agama kepada golongan asnaf dan mualaf itu, pendekatan yang diambil oleh yayasan itu adalah melaksanakan pengajian An-Nur menerusi kelas mengaji Al-Quran menggunakan modul yang disediakan yayasan itu.

Katanya sejak Disember tahun lepas, kelas mengaji Al-Quran secara percuma dilaksanakan di pejabat yayasan itu di Sulaman Sentral yang kini disertai kira-kira 80 golongan asnaf dan mualaf daripada peringkat kanak-kanak hingga dewasa.

Menurutnya pelaksanaan kelas mengaji Al-Quran itu turut diperluaskan di beberapa lokasi di pantai timur negeri ini di Daerah Semporna, Lahad Datu dan Tawau dengan pendekatan berlainan.

“Sebagai contoh di Pulau Bum-Bum Semporna, kelas mengaji Al-Quran dikendalikan oleh golongan belia di kampung itu yang telah diberi latihan oleh YDKMM menggunakan modul yang disediakan.

YDKMM juga membaik pulih masjid di kampung ini untuk keselesaan masyarakat dan digunakan untuk kelas mengaji Al-Quran,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Menurutnya tiga lagi kelas mengaji Al-Quran dilaksanakan di tiga lokasi di Lahad Datu dan satu lokasi di Tawau.

Beliau berkata pelaksanaan kelas mengaji al-Quran itu dikendalikan oleh belia yang telah diberikan latihan menerusi sumbangan sukarela di bawah Program Youth of Happiness (Yosh).

Sittilin berkata Program Yosh merupakan pembangunan belia yang ditumpukan oleh YDKMM Sabah pada awal penubuhannya.

Katanya ketika ini terdapat 100 belia yang mendaftar sebagai sukarelawan Yosh di negeri ini dengan 30 orang daripada mereka bergiat aktif termasuk melakukan program bimbingan di sekolah dan institusi pengajian tinggi awam.

Menurutnya sukarelawan berkenaan turut membabitkan pelajar yang masih menuntut di Universiti Malaysia Sabah (UMS) serta pelajar lanjutan di peringkat sarjana dan doktor falsafah.  — BERNAMA





Source link

Loading...

Articles You May Like

Warren, Sanders campaigns spar in rare show of discord between progressive Democratic contenders
Britain secretly funded Reuters in 1960s and 1970s – documents
TAMBADAU, BEKAS PEMAIN TEMUI PEMINAT DI MEMBAKUT JUMAAT INI
26 NGO, SYARIKAT BERGABUNG ANJUR KEMPEN DERMA DARAH
SHAFIE : BUDAYA CINA BERPERANAN SATUKAN RAKYAT SABAH