PELAN INDUK PEMBANGUNAN KADAMAIAN DILANCARKAN

Sabah


Oleh Wartawan BS

KOTA BELUD: Pelan Induk Pembangunan Kadamaian (2020-2035) yang dilancarkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, akan menjadi panduan kepada semua kementerian, agensi dan jabatan Kerajaan untuk membawa pembangunan yang lebih pesat di kawasan luar bandar khususnya Kadamaian.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick berkata, kajian Pelan Induk Pembangunan Kadamaian itu dilaksanakan oleh Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah dengan kerjasama Pejabat Daerah Kota Belud, Pejabat UPPM Kadamaian dan Perhubungan ADUN Kadamaian.

JustForex

“Kajian ini diadakan selama enam bulan bermula Julai 2019 melibatkan peruntukan touchpoints ADUN sebanyak RM68,000.

“Pelan induk ini sangat penting kerana ianya merupakan input daripada rakyat Kadamaian. Penyelidikannya mencakupi kesemua kampung di seluruh Kadamaian dengan konsultansi dengan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

“Pelan ini nanti akan menjadi panduan utama kepada semua kementerian, agensi dan jabatan Kerajaan serta rakan-rakan strategik pembangunan terutama badan korporat yang ingin melabur atau mengadakan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) di Kadamaian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Rumah Terbuka Krismas dan Tahun Baru Kadamaian serta Perasmian Kadamaian Square dan Pelancaran Pelan Induk Pembangunan Kadamaian, di Dewan Kadamaian Square, di sini, pada Ahad.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, penyediaan pelan pembangunan itu selari dengan hasrat Ketua Menteri semasa membentangkan Belanjawan Negeri Sabah 2020 agar setiap daerah mempunyai pelan pembangunan masing-masing.

“Pelan ini mencakupi wawasan saya untuk membangunkan Kadamaian berasaskan kepada dua sektor ekonomi utama iaitu pertanian dan pelancongan yang harus disokong dengan kemudahan infrastruktur asas dinaiktaraf (jalan raya aspal/konkrit, bekalan elektrik, air dan telekomunikasi) serta rangkaian kemudahan keusahawan desa,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan telah menyalurkan peruntukan pembangunan infrastruktur lebih RM10 juta untuk membina dan menyediakan pelbagai kemudahan asas di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian dalam tempoh kurang dua tahun.

Ewon berkata, antara kemudahan yang berjaya dilaksanakan di kawasan Kadamaian setakat ini ialah Dewan Kadamaian Square, penaiktarafan ke jalan konkrit jalan-jalan kampung, jalan perhubungan desa, pembinaan dewan serbaguna, dewan terbuka, jambatan gantung, gimnasium rakyat, gelanggang sukan, laluan pelancongan komuniti, bangunan keusahawanan desa serta pelbagai program touchpoints dan gotong-royong.

Walaupun begitu, katanya masih banyak impian rakyat Kadamaian yang perlu disediakan termasuk mendapatkan kemudahan infrastruktur asas berskala besar terutama penaiktarafan jalan raya ke jalan aspal.

“Pada pertengahan tahun lepas, Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony telah menjemput kami ke taklimat Jabatan Kerja Raya (JKR) Tuaran dan Kota Belud. Daripada taklimat itu, memang jelas keperluan pembangunan naiktaraf jalan raya lebih banyak di Kadamaian.

“Inilah impian rakyat Kadamaian dan saya akan terus berusaha mengangkat impian ini dan mendapatkan pembelaan terbaik. Di pekan Taginambur ini juga, kita baru menaiktaraf ke jalan aspal sebahagian Jalan Tambulaung menuju ke kawasan ini dan kita akan melaksanakannya secara berperingkat-peringkat,” katanya.

Ewon berkata, dalam pelan pembangunan Kadamaian, Tamu Taginambur dihasratkan sebagai pusat aktiviti ekonomi utama bukan hanya untuk aktiviti tamu mingguan tetapi aktiviti ekonomi harian khususnya sebagai pusat transit pelancongan luar bandar yang semakin berkembang di Sabah, terutamanya di Kadamaian.

“Sebab itulah semasa mesyuarat Kabinet yang terakhir pada tahun lepas, saya mengemukakan permohonan peruntukan kepada Ketua Menteri untuk pelaksanaan fasa 2 pembangunan Tamu Taginambur meliputi kerja-kerja naiktaraf konkrit kawasan tamu dan parit, membina konkrit tebing sungai Kadamaian di kawasan tamu ini, membina landskap dan taman permainan.

“Selain itu kita juga akan membina sebuah Walai Kadamaian yang berfungsi sebagai rumah rehat penginapan, pusat maklumat dan urusetia pelancongan serta kafeteria, di kawasan ini.

“Keseluruhan kos untuk fasa 2 pembangunan ini melibatkan peruntukan sebanyak RM1 juta. Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Ketua Menteri kerana meluluskan peruntukan ini,” katanya.

Pada majlis itu Shafie turut merasmikan Dewan Kadamaian Square dan mengumumkan kelulusan peruntukan RM1 juta untuk pelaksanaan fasa 2 Tamu Taginambur.

Majlis itu turut dihadir dua Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Madius Tangau dan Datuk Christina Liew, Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan iklim Isnaraissah Munirah Majilis, Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Rasinin Koutis dan Dumi Pg Masdal serta para pemimpin tempatan.





Source link

Loading...

Articles You May Like

PENAGIH DADAH MENGAMUK
U.S. State Dept tracks 60 U.S. citizens in Japan following coronavirus outbreak
Speed science: The risks of swiftly spreading coronavirus research
China reports 397 new confirmed cases of coronavirus on mainland on Feb.21
TAPAK KAKI KANAK-KANAK DITEMUI