
KOTA KINABALU, 19 Nov — Enam pondok polis dan satu lagi balai polis di Sabah bakal dinaik taraf daripada kategori D kepada B, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor.
Beliau berkata pondok polis yang akan dinaik taraf kepada balai polis itu adalah di Paitan, Tagas-Tagas, Sukau, Matunggong, Pangi, Sri Indah manakala balai polis yang dinaik taraf ialah Balai Polis Putatan.
“Jawatan ketua polis daerah Penampang dan Semporna juga akan dinaik taraf iaitu daripada DSP kepada Supt (Penampang) dan daripada Supt kepada ACP (Semporna), katanya kepada pemberita selepas Istiadat Pengurniaan Pingat Jasa Pahlawan Negara Polis Kontinjen Sabah kepada 585 penerima yang disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin di sini, hari ini.
Mazlan berkata, kedua-dua proses naik taraf berkenaan akan dilaksanakan dalam tempoh lima hingga enam bulan.
Mengulas mengenai terdapat cadangan memindahkan pejabat Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dari Lahad Datu ke Sandakan, Mazlan berkata ia hanya di peringkat perancangan.– BERNAMA