
KOTA KINABALU: Masa operasi stesen minyak, pasar awam dan restoran di bandar raya ini kini dihadkan, berkuatkuasa serta-merta.
Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Mayor DBKK, Datuk Nordin Siman, dalam satu kenyataan berkata, arahan berkenaan adalah selaras dengan Akta 342, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967 Dan Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit ( Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan ) 2020.
“Berdasarkan Perintah Kawalan Pergerakan seperti yang telah ditetapkan kerajaan, semua stesen minyak dan pasar awam seluruh Kota Kinabalu telah dihadkan masa operasi bermula dari 6 pagi sehingga 2 petang sahaja.
“Sementara itu, restoran di seluruh Bandaraya Kota Kinabalu pula dihadkan masa operasi bermula dari jam 6 pagi sehingga 5 petang sahaja,” katanya.
Tambah beliau, arahan berkenaan juga tertakluk kepada perubahan arahan terkini dari semasa ke semasa./BERITA SABAH